Tahun lalu, seramai 15.06 juta penduduk bekerja di Malaysia dicatatkan dan didapati hanya 1.5 juta (10.3%) daripadanya terlibat dalam sektor pertanian negara.
Tinjauan di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini memperincikan jumlah tersebut telah menurun berbanding penyertaan pekerja pada tahun 2020 seramai 1.56 juta individu. Mengikut kapasiti, warga tempatan kekal mendominasi pada penglibatan sektor pertanian dengan 63.6% sementara 36.4% pula mewakili pekerja asing.
Meskipun jumlah pekerja menurun, namun penyertaan lelaki dalam sektor pertanian telah meningkat kepada 1.23 juta pekerja berbanding tempoh lalu seramai 1.21 juta. Manakala penyertaan pekerja wanita pula dilihat menurun kepada 318,600 individu.
Berdasarkan prestasi, produktiviti pekerja dilihat merosot sebanyak 4.6% dalam tempoh 2020-2021, situasi ini berlaku ekoran isu kesihatan dan struktur ekonomi yang masih kurang seimbang pada fasa tersebut.