Artikel

Bekalan Telur Ayam Malaysia Menurun – Sebanyak 96 Juta Sebulan

Pengurusan makanan negara kini dapati terdapat kekurangan bekalan telur ayam berlaku di pasaran tempatan, di mana jumlah bekalan dilihat jauh lebih rendah daripada keperluan biasa.

Buat pengetahuan umum, Malaysia setiap bulan memerlukan sekitar 968.8 juta bekalan telur ayam untuk penuhi permintaan semasa, akan tetapi jumlah tersebut semakin menurun kepada 871.9 juta – ini menunjukkan terdapat lebih 96 juta kekurangan bekalan telur ayam sedang didepani negara.

Menurut Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada sidang hari ini memaklumkan, ketirisan tersebut berlaku ekoran tindakan pengeluar melupuskan ayam matang susulan usianya telah melebihi tahap keperluan pengeluaran telur ayam di negara.

Langkah pelupusan ayam di awal usia matangnya dilihat secara langsung telah menjejaskan dinamik penghasilan telur ayam di Malaysia. Menyedari kesukaran itu, di tambah tekanan kos semasa, pasukan inflasi bercadang mengesyorkan beberapa langkah antaranya meningkatkan paras subsidi telur atau menaikkan harga siling telur negara. Kedua-dua langkah ini untuk menampung keperluan serta keuntungan pengeluar di pasaran negara.

Bagaimanapun usul tersebut masih diperingkat perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Maka untuk memperkasakan lagi pengeluaran telur ayam di pasaran, pasukan inflasi menyeru pemain industri untuk tampil mengemukakan cadangan bagi mengatasi jurang kekurangan 96 juta bekalan telur ayam di negara. Segala usul akan dipertimbangkan demi mengekalkan kesejahteraan ekonomi Malaysia.