Jumlah pekerja asing di negara kini kembali mencapai 2.1 juta individu, sepertimana yang dicatatkan pada data dua tahun lalu.
Menurut Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, angka ini sedikit meningkat berbanding data tahun 2021 yang mencatatkan jumlah 1.9 juta pekerja asing.
Bagaimanapun angka tersebut dijangka terus meningkat, ekoran sektor ekonomi negara masih memerlukan tambahan 15% lagi pekerja asing untuk menampung keperluan negara.
Mengikut Kementerian Sumber Manusia (KSM) negara akan memperlihatkan pertambahan pekerja asing tidak lama lagi dengan mencapai jumlah 2.2 juta individu. Setakat ini lebih 238,000 pekerja asing telah diberi pas segera, jumlah tersebut tidak merangkumi 640,000 permohonan yang sedang menanti proses biometrik dan perubatan.