Artikel

Pelanggan UOB Akan Guna Token Digital – Kaedah Pengesahan Baru Mulai Jun 2023

Selari dengan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan data pelanggan dipelihara, United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Malaysia) kelak memaklumkan pelanggannya akan menggunakan kaedah pengesahan yang lebih selamat iaitu token digital – UOB Mighty Secure sepenuhnya bermula Jun 2023.

Peralihan itu akan memperlihatkan penggunaan token digital bagi setiap pengesahan transaski pada laman web perbankan internet perbadi (PIB)  UOB. Ini termasuklah penggunaannya pada aplikasi UOB Mighty dalam urusan pindahan dana, pembayaran serta sebarang perubahan maklumat peribadi pada tetapan akaun.

Token digital tersebut boleh diakses pada aplikasi di mana menggabungkan Pengesahan-Dua Faktor kepada pengguna. Kaedah ini dilihat terjamin berbanding penerapan SMS-OTP yang dihantar ke telefon pengguna.

Selanjutnya UOB turut akan menguatkuasakan, sebarang transaksi lebihi RM10,000 perlu disahkan melalui UOB Mighty Secure pada laman perbankan atau aplikasinya.

Menerusi pelaksanaan tersebut, perubahan ini akan meningkatkan ciri keselamatan UOB di samping dapat melindungi pelanggan daripada kegiatan penipuan kewangan secara atas talian.