Penyertaan wanita dalam pelbagai bahagian dilihat masih lagi kecil, jika dibandingkan dengan lelaki – ini dapat dilihat pada Indeks Jurang Gender Global dengan Malaysia memiliki sekadar skor 0.68.
Skor tersebut tidak hanya merangkumi penglibatan dalam ekonomi tetapi turut didasari pada penyertaan dalam pentadbiran dan politik negara.
Tahukah anda, pada tinjauan Journal of Malaysian Parliament penglibatan wanita pada Pilihan Raya Umum Malaysia Pertama (1959) sehingga 2018 (PRU14) hanya mengalami sedikit peningkatan penyertaan sekitar 14.4%.
Malah mengikut negara ASEAN, Malaysia jadi negara kedua terendah iaitu ke-9 dari 10 negara dan berada pada kedudukan ke-143 dari 187 senarai dunia berhubung peratusan wakil wanita.
Kajian juga dapati pengukuhan sistem patriarki dalam pembangunan negara secara langsung telah mengekalkan pendominasian lelaki pada peranan pimpinan negara.
Melalui amalan patriarki, kehidupan wanita ditentukan oleh konstruksi sosial masyarakat yang mempercayai bahawa status lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita. Amalan ini membentuk satu kitaran yang secara berterusan dan secara sistematik meminggirkan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya dalam usaha merancang dan membuat keputusan termasuk dalam bidang politik yang melibatkan kuasa.
Situasi tersebut secara langsung dilihat bercanggah dengan sistem demokrasi yang diamalkan negara serta masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah populasi yang terdapat pada negara. Malah peratusan sekitar 14.4% itu dilihat kekal jauh daripada saranan PBB dan Inter-Parliamnetary Union (IPU) yang meletakkan sekurang-kurangnya 30% penyertaan wanita selaku pembuat dasar legislatif dalam negara.
Malah dasar minimum ini turut dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia pada Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, akan tetapi usaha ini dilihat masih kurang efektif untuk di capai.