Penggunaan mata wang digital China, e-CNY (CBDC) ternyata kini semakin rancak, apabila setakat akhir Ogos 2022 lalu – jumlah perbelanjaan penduduk berjaya lepasi 100 bilion yuan ($13.9 bilion) dalam aliran ekonomi mereka.
Berdasarkan data, jumlah transaksi ini melibatkan 360 juta transaksi di kawasan terpilih merangkumi 15 wilayah di China. Menurut Bank Pusat China (PBOC) kini pihaknya turut memiliki lebih 5.6 juta peniaga – bersedia menerima pembayaran dengan mata wang digital. Sementara jumlah pengguna pula dilihat telah melebihi 123 juta pengguna individu dan lebih 9.2 juta pula melibatkan pengguna korporat. Situasi itu sekaligus menjadikan China antara negara keterdepan dalam membawa perubahan pada mata wang ke arah digital.
Setakat ini, e-CNY sedang diterapkan pada sektor peruncitan domestik, diikuti perniagaan korporat, cukai, pembayaran melibatkan hal ehwal kerajaan serta penggunaan peribadi bagi pengguna di kawasan rintis.
Malah China turut menghubungkan sistem e-CNY bersama sistem pembayaran digital tradisional, yang dikuasai oleh Alipay – Alibaba Group dan Tencent Holding – WeChat Pay, untuk menjadikannya lebih mudah buat pengguna dan peniaga.