Artikel

AEON Terus Perkasa Kemudahan Runcit, Disasar Raih Untung Tinggi Akhir 2022 Ini

AEON Co, disasarkan miliki prestasi kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2022 kelak. Jangkaan positif itu tidak hanya bersandarkan kepada aktiviti pembelian ketika musim perayaan atau persekolahan, tetapi turut didorong penerapan kemudahan teknologi pada premis Aeon.

Untuk makluman Aeon ketika ini memperuntukan 80% daripada perbelanjaan modal bagi pengubahsuaian tiga pusat membeli-belah. Sementara 20% peruntukan lagi terarah ke pembangunan teknolog maklumat (IT) merangkumi penyediaan terminal pembayaran.

Mengikut makluman Kenanga Research, Aeon mengekalkan komitmen sediakan terminal daftar-keluar sendiri di 41 kedai dan 26 daripadanya telah sedia beroperasi. Malah berdasarkan tinjauan penulis sendiri, Aeon turut menyediakan terminal pesanan sendiri di ruangan medan selera. Langkah tersebut secara langsung meningkatkan penyertaan pengguna pada agenda nirtunai (tanpa tunai).

Kemudahan ini tidak sekadar meningkatkan kecekapan pembelian para pengguna di pusat membeli-belah tetapi turut menampung kos operasi kakitangan dalam pengendalian pasaran.

Pada segmen kemasukan peniaga pula, Aeon dilihat terus memiliki kadar penghunian yang tinggi, dijangka mencapai 92% pada suku keempat kelak.