Artikel

Lebuhraya DASH Bernilai RM4.2 Bilion, Bakal Dibuka Esok – Bersama Tol Percuma Sehingga 30 Nov

Bermula esok, sekitar 50,000 pengguna lebuh raya akan menerima manfaat disebalik pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) yang bakal dibuka pada 14 Oktober ini.

Lebih menarik pembukaan lebuh raya yang bernilai RM4.2 bilion itu akan menawarkan tol percuma selama sebulan sehingga 30 November ini untuk rakyat Malaysia.

Langkah itu telah mencapai persetujuan kerajaan negara dan pihak pentadbiran turut bersetuju untuk cadangan penstrukturan semula 4 syarikat konsesi lebuh raya kendalian PROLINTAS, serta kurangkan kadar tol lebuh raya yang terlibat.

Untuk makluman pembangunan DASH telah dilaksanakan sejak 2016 lagi dan ia merupakan inisiatif perkongsian swasta-awam yang diterajui oleh Program Transformasi Ekonomi. Dimaklumkan tempoh konsesinya akan berlanjutan selama 55 tahun berakhir pada 24 Disember 2069 kelak.

Mengikut perincian PROLintas memaklumkan lebuh raya ini memiliki 3 plaza tol meliputi Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol DASH Kota Damansara. Kesemua plaza tol tersebut dimaklumkan bersedia menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang Multi Lane Free Flow (MLFF).

Ia turut dilengkapi 37 kamera litar tertutup bersama 18 telefon kecemasan. Diikuti kemudahan 30 sistem pengesan insiden kenderaan dan 10 papan tanda mesej berubah-ubah di sepanjang jajaran lebuh raya.

Berdasarkan pembukaan ini, ia secara langsung turut memperkasakan pasaran buruh negara apabila menyediakan 12,000 peluang pekerjaan – merangkumi bahagian pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu serta pekerja kontrak.

Adanya kemudahan ini disasarkan akan membantu rakyat negara mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana ke Penchala, dengan penjimatan 60 minit perjalanan.