Mana-mana pihak yang berdepan isu tunggakan cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan ketersediaan mereka untuk melaksanakan rundingan bersama pembayar cukai berkaitan.
Ini kerana peruntukan undang-undang negara memberi ruang kepada pembayar cukai untuk melunaskan tanggungjawab mereka secara ansuran. Mengikut bahagian Komunikasi Pejabat LHDN faedah tersebut tersedia pada semua pihak – namun ia perlulah dicapai melalui rundingan bersama pihak LHDN.
Seperti yang umum ketahui, setiap tahun kumpulan pembayar cukai meliputi individu atau entiti perlu mengemukakan Borang Nyata Cukai kepada LHDN. Tindakan ini tertakluk di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Maka kegagalan mematuhi aturan sedemikian boleh mengakibatkan pengenaan penalti dan ini sekadar meningkatkan lagi bebanan cukai yang perlu ditanggung oleh pembayar.
Oleh itu, untuk mengurangkan tekanan tersebut – pembayar cukai disarankan untuk tidak melengahkan masa pembayaran dan berhubung bersama LHDN bagi mendapatkan khidmat perundingan percukaian secara percuma di kaunter berdekatan.