Artikel

India Bakal Menguji Guna Mata Wang Digital e-Rupee

Seiring dengan langkah revolusi kewangan, setelah memperkenalkan e-RUPI iaitu sistem pembayaran digital negaranya – dalam tempoh terdekat Bank Rizab India (RBI) mula memberi petanda bakal memulakan pelan menguji mata wang digital bank pusat (CBDC) mereka iaitu e-Rupee pada transaksi terpilih.

Berdasarkan perincian makluman, Rupee digital tersebut memiliki nilai setara bersama wang kertas dan boleh ditukar serta diterima dalam pelbagai medium pembayaran serta diperakui sebagai simpanan yang selamat untuk pengguna negaranya.

Antara sasaran utama dalam menjayakan penerapan wang digital ini, India akan memberi tumpuan kepada transaksi pada khidmat perbankan dan peruncitan negaranya. Langkah tersebut akan memperkasakan penggunaan Rupee digital ke atas sektor swasta di India juga.

Menerusi usaha itu, RBI menyasarkan penggunaan Rupee digital akan membantu negara menampung serta mengurangkan kos pengeluaran wang serta meningkatkan kecekapan aliran transaksi nirtunai.