Artikel

KWSP Papar Penurunan Pendapatan Lebih RM7 Bilion

Dalam tempoh 6 bulan pertama pada tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaparkan penurunan pada pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM7.06 bilion (21%) yang berakhir pada 30 Jun lalu.

Ini bermakna jumlah pendapatan pada pelaburan kasar secara menyeluruh mencatatkan RM27 bilion untuk separuh pertama 2022.

Penyusutan ini menurut KWSP pada minggu lalu, adalah tindak balas kepada ketidaktentuan pertumbuhan global bersama tekanan inflasi yang berterusan meningkat, sehingga kini Malaysia mencatatkan paras inflasi 4.7%.

Sentimen tersebut secara langsung telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP pada ekuitinya – di mana pasaran global telah menjunam pasa julat sehingga 21%.

Untuk makluman, pada perincian prestasi suku kedua juga – telah mengalami penyusutan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM3.63 bilion, ini membawa kepada jumlah pendapatan sebanyak RM11.14 bilion. Lebih rendah berbanding suku kedua tahun 2021.

Akan tetapi KWSP kekal memaparkan peningkatan pada ekuiti persendirian naik lebih 100% kepada RM1.15 bilion, diikuti segmen hartanah dan infrastruktur yang turut meningkat positif kepada RM1.20 bilion bersama instrumen pasaran wang terus naik kepada RM0.33 bilion.