Malaysia ketika ini mencatatkan peningkatan jumlah rakyat yang berdepan komplikasi penyakit kronik disebabkan tabiat merokok – adalah rata-ratanya dari kelas pendapatan rendah B40.
Perkongsian Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ini menjelaskan, jumlah tersebut secara tidak langsung menunjukkan kumpulan ini menjadi sasaran syarikat tembakau.
Maka pembentukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini dilihat bertepatan dengan tujuan negara untuk melindungi kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, tidak timbul persoalan bahawa pembentukan RUU tersebut akan memberi kesan kepada kumpulan pendapatan kecil ini.
Tahukah anda kesan daripada menampung jumlah penyakit kronik akibat tabiat merokok ini dijangka meningkatkan perbelanjaan Malaysia sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030 kelak.
Malah kos rawatan yang ditanggung kerajaan pada ketika ini adalah lebih tinggi daripada kutipan cukai produk tembakau yang dikutip oleh negara – iaitu hanya sekitar RM3 bilion sahaja.