Artikel

IKEA Rancang Guna Kenderaan Penghantaran Elektrik Sepenuhnya – Menjelang 2025

IKEA, firma pengeluaran perabot dan aksesori kediaman di pasaran global kini merancang melaksanakan perubahan pada khidmat penghantarannya ke penggunaan kenderaan lebih lestari. Pihaknya menyasarkan akan menggunakan kenderaan penghantaran elektrik (EV) sepenuhnya ke seluruh negara menjelang 2025.

Agenda ini menurut Ketua Pegawai Eksekutif IKEA – Jesper Brodin adalah bertepatan dengan peralihan penerapan teknologi dunia dalam landskap logistik.

Namun pihaknya akui, segelintir cawangan negara akan mengalami kesukaran untuk mencapai matlamat tersebut – akan tetapi IKEA kekal optimis menyifatkan menjelang 2025 seharusnya pihaknya telah memiliki keupayaan mengatasi isu sedemikian.

Pada masa yang sama, IKEA juga memiliki perancangan untuk menyediakan infrastruktur stesen pengecasan EV untuk pelanggan di semua cawangan dan untuk kemudahan trak penghantaran rangkaian.

Sekadar makluman setakat Jun 2021, sekitar 25% penghantaran telah dikendalikan oleh kenderaan penghantaran elektrik pada cawangan terpilih.

Maka melalui langkah perluasan ini ia sekaligus membantu rangkaian mengurangkan 50% jejak karbon yang dihasilkan daripada segmen penghantaran kepada persekitaran alam sekitar seperti yang disasarkan menjelang tahun 2030.