Artikel

PAC Dapati Aplikasi MySejahtera Masih Dimiliki Syarikat Pembangun Aplikasi, Bukan Kerajaan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada hari ini (4 Oktober) mendapati cara perolehan kerajaan ke atas pelantikan KPISoft selaku pembangun aplikasi MySejahtera, iaitu aplikasi kesihatan negara – dilihat tidak teratur dan kurang jelas.

Ini kerana pada sesi semakan, tiada sebarang dokumen sokongan yang membuktikan pelantikan KPISoft dipersetujui dalam mesyuarat tertentu.

Secara jelasnya dari segi dokumentasi membawa pengertian aplikasi MySejahtera masih dimiliki syarikat pembangun aplikasi. Malah turut didapati kerajaan juga masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO setakat April 2022 lalu.

Maka untuk menjernihkan percanggahan fahaman ini, PAC mengesyorkan kerajaan untuk menyemak kembali kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus dan pihak MAMPU diliha berpotensi mengambilalih keseluruhan aplikasi tersebut.

Pada masa yang sama, kerajaan juga digesa untuk memiliki aplikasi MySejahtera sepenuhnya bagi memastikan data peribadi 38 juta pengguna aplikasi tidak disalahguna oleh mana-mana pihak.