Walaupun nilai Ringgit kini telah menyusut sekitar 10.5% sejak dari awal tahun 2022 – Kementerian Kewangan (MOF) kekal optimis, menegas penurunan peratusan tersebut tidak menjadi penanda aras, untuk menakrifkan Malaysia bakal berdepan krisis ekonomi.
Ini kerana, situasi yang sama turut didepani oleh semua negara di seluruh dunia.
Orang awam perlu sedari kenaikan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) – secara langsung akan mengukuhkan nilai mata wang dolar kerana banyak daripada dana negara lain mengalir masuk ke aset-aset dolar AS. Ia sekaligus menjadikan pulangan AS terus mengukuh.
Jelas Tengku Zafrul lagi, kesan tersebut tidak bermakna semua negara yang mengalami penurunan didefinisikan sebagai gagal. Untuk menakrifkan sesebuah negara sebagai ‘berdepan krisis ekonomi’ – ia tidak sekadar mengalami penyusutan nilai mata wang, tetapi turut berdepan KDNK merosot secara mendadak, paras bankrap meningkat, kadar pengangguran naik serta taraf hidup masyarkat semakin terjejas.
Manakala untuk negara didefinisikan sebagai ‘berdepan krisis kewangan’ pula memerlukan berlakunya penyusutan aset kewangan secara mendadak dalam tempoh yang singkat, mengalami kejatuhan nilai pasaran saham, dan kegagalan kerajaan membayar hutang.
Maka pada pengamatan itu, MOF melihat pengukuhan asas ekonomi akan menjadi pemangkin kepada Malaysia – untuk menghindari dari tergolong dalam definisi tersebut. Setakat ini pertumbuhan negara bagi tahun 2022 kekal positif dengan jangkaan Bank Dunia melonjak kepada 6.4%. Peningkatan unjuran ini sekaligus menunjukkan aliran perdagangan negara semakin memulih.