Artikel

Bayi Yang Lahir Pada 2022 – Dijangka Hidup Sehingga 73.4 Tahun

Berikutan jumlah kematian yang tinggi semasa pandemik COVID-19, ini secara langsung telah menjejaskan purata jangka hayat di Malaysia bagi setiap kelahiran kepada usia 73.4 tahun.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Statistik Jangkaan Hayat 2022 ini secara jelas menunjukkan paras usia 73.4 tahun itu telah menurun, berbanding jangka hayat kelahiran di Malaysia pada tahun 2012 dengan usia 74.4 tahun.

Lebih membimbangkan, penurunan jangka hayat ini tidak hanya melihatkan data di dalam negara tetapi sebagai perbandingan – jangka hayat di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Vietnam.

Kedudukan itu didorong hasil penurunan jangka hayat penduduk lelaki kini ditakrifkan sekitar 71.3 tahun, manakala wanita pula 75.8 tahun.

Sementara jangka hayat ketika lahir mengikut etnik pula memaparkan etnik Cina memiliki jangka hayat yang lebih tinggi dengan lelaki Cina 74.8 tahun dan perempuan Cina pula 79.6 tahun. Diikuti etnik Bumiputera Lain dengan lelaki 73.5 tahun dan perempuan pula 76.9 tahun.

Bagi etnik Melayu pula memperlihat purata jangka hayat untuk lelaki 70.5 tahun dan perempuan 75.5 tahun. Etnik India pula mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki 67.6 tahun dan perempuan 75.8 tahun.

Selanjutnya pada perincian jangka hayat mengikut negeri pula – DOSM dapati Selangor mencatatkan jumlah jangka hayat tertinggi untuk tahun 2020-2022, manakala Terengganu pula jangka hayat terendah pada tahun 2020-2021 dan Kedah pula negeri memiliki jangka hayat ketika lahir terendah untuk data 2022.