Artikel

Bank Negara Keluarkan Edisi Khas Duit Syiling – Sempena Ulang Tahun Ke-50 Kilang Wang

Bank Negara Malaysia (BNM), mengumumkan pengeluaran edisi khas duit syiling peringatan – bersempena meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan penempa rasmi duit syiling Malaysia iaitu Kilang Wang, sejak 10 Julai 1971.

Edisi khas ini dimaklumkan adalah sebagai tanda penghargaan Kilang Wang selaku entiti yang bertanggungjawab menempa syiling negara dengan pelbagai reka bentuk yang menarik.

Berdasarkan pengeluaran, terdapat dua kategori iaitu Duit Syiling Peringatan Tembaga – Bentuk Wau, Gasing, Congkak. Di mana edisi kategori ini diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan 99.9 dan dikeluarkan dalam tiga bentuk iaitu Wau, Gasing dan Congkak, dengan berat 36.6 gram, 21.7 gram dan 22.8 gram setiap satu. Nilai muka duit syiling ini ialah RM5 dan akan dijual pada harga RM220 sekeping. Sejumlah 1,200 keping telah ditempa untuk setiap jenis.

Manakala kategori kedua pula adalah Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated – duit syiling ini diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Seterusnya, pengeluaran kedua kategori ini juga turut tersedia dalam bentuk Set 3 dalam 1 untuk jualan. Set ini berharga RM605 dan mengandungi sekeping duit syiling pruf tembaga berbentuk Wau, Gasing dan Congkak. Sejumlah 1,200 set tersedia untuk pembelian. Maka untuk tindakan lanjut, orang awam yang berminat untuk tempahan – boleh layari pautan Duit BNM bermula hari ini 28 September sehingga 9 Oktober kelak.

Tempa, menempa – membentuk besi kepada sesuatu objek