Artikel

Shoppegram – Platform Sokongan E-Dagang, Bantu Usahawan Malaysia Bina Kedai Secara Digital

Platform e-dagang secara asasnya menyediakan ruang dan peluang kepada para peniaga untuk berkarya dengan memasarkan produk jualan mereka secara atas talian. Akan tetapi lonjakan persaingan tempatan dari semasa ke semasa telah mengecilkan penerokaan tersebut khususnya buat perniagaan yang berskala kecil dan sederhana. 

Melihat pada ketirisan tersebut, disinilah bermulanya peranan Shoppegram pada ekosistem perniagaan tempatan.

Di mana melalui sistem e-dagang di bawah pengendalian Lutfi Azhar bersama Aizuddin Manap, para peniaga di pasaran domestik kini boleh memasarkan produk mereka secara terus di bawah pautan laman sesawang mereka sendiri dengan lebih mudah. 

Sokongan Shoppegram dilihat tidak hanya tertumpu untuk memudahkan pemasaran jualan produk dapat dijalankan tetapi turut memberi pendedahan kepada kumpulan peniaga akan pengetahuan perniagaan sebenar di sebalik manfaat era digital ini.

Shoppegram Ingin Didik Peniaga Domestik – Fahami Kelebihan Beroperasi Secara Digital

Shoppegram, tercetusnya idea platform ini bermula pada tahun 2013 – apabila ramai peniaga mula menjadikan platform Instagram selaku medium kepada jualan produk mereka. Memahami permintaan tersebut, Lutfi bersama Aizuddin pada penyertaan ‘hackathon’ ketika itu mula membentuk idea ‘Shopping + Instagram‘ membawa kepada Shoppegram – iaitu pada peringkat awalnya medium ini menampilkan ciri tagar (#) buat para peniaga untuk mengemaskinikan senarai produk mereka dengan lebih mudah dan teratur. 

Kini perubahan struktur perkhidmatan telah disesuaikan mengikut keperluan perniagaan domestik dengan menawarkan pembangunan laman sesawang buat pemilik dan pemasar produk. 

Dengan berbekalkan pengalaman selama 17 tahun dalam industri, Lutfi telah mempelbagaikan peranan Shoppegram iaitu menyediakan pelbagai program dan kelas panduan untuk memastikan kesemua peniaga domestik memahami akan penggunaan sistem e-dagang pada laman sesawang mereka. Dan langkah ini secara tidak langsung mendidik peniaga memahami lebih lanjut akan keupayaan digital dalam membantu produk menjana keuntungan. 

Melalui perkhidmatan semasa, usahawan sekadar perlu menyediakan perincian kandungan produk dan menstrukturkan strategi pemasaran mereka, selebihnya bersama sokongan Shoppegram – segala pemaparan produk dapat dilaksanakan dengan mudah di laman sesawang mereka.

Buat pengetahuan umum, setakat ini lebih 26,000 laman sesawang telah dibangunkan sendiri oleh usahawan dengan platform Shoppegram pada ekosistem perniagaan secara atas talian tempatan dan sepanjang 3 tahun beroperasi ini – transaksi jualan telah berjaya mencecah sebanyak RM193 juta. 

Ciri Sokongan Shoppegram Dorong Usahawan Raih Pendapatan Sehingga RM1.8 Juta Sebulan

Diskusi bersama Rnggt – Shoppegram berkongsikan terdapat sebilangan usahawan berupaya meningkatkan pendapatan bulanan syarikat melalui sistem e-dagang sokongan Shoppegram. Di mana terdapat usahawan berjaya meraih perolehan sehingga RM1.8 juta sebulan. 

Apa yang menggalakkan adalah perolehan tersebut telah berjaya dicapai berdasarkan hasil pemahaman peniaga akan kelebihan disebalik penggunaan sistem secara atas talian ini. Untuk makluman, antara pelanggan yang menyokong produk usahawan di bawah Shoppegram ini – diklasifikasikan antara golongan warga tua. 

Malah berdasarkan perkongsian, di bawah Shoppegram terdapat pelbagai penyertaan kategori produk yang direkodkan antaranya kesihatan, kecantikan, fesyen, makanan dan minuman, aksesori dan jualan peranti pintar.

Melalui penyertaan produk yang menggalakkan ini, secara terus mencerminkan ciri sokongan platform Shoppegram berjaya meningkatkan pemahaman peniaga dalam aktiviti pemasaran produk jualan secara atas talian. Hasil tersebut dapat dilihat melalui permintaan yang membrangsangkan oleh para pengguna pada jualan atas talian.

Bakal Meluaskan Jejak Perkhidmatan Ke Pasaran Indonesia – Menjelang Tahun 2023

Setelah beberapa tahun mengukuhkan operasi di pasaran tempatan, Shoppegram pada perancangan selanjutnya akan mengfokuskan kepada perluasan perkhidmatan di negara jiran, Indonesia – bermula antara tahun 2023 dan 2024. 

Sasaran ini didasari berasaskan tinjauan mereka ke atas pasaran di Indonesia. Shoppegram melihat walaupun kapasiti pasaran di negara itu berskala besar namun tahap pemahaman yang kurang akan kelebihan operasi perniagaan secara atas talian – dilihat masih lagi rendah berbanding dengan pengetahuan usahawan Malaysia. 

Maka peluang tersebut wajar dimanfaatkan Shoppegram untuk meluaskan peranan mereka – ini kerana pendidikan berhubung perniagaan tidak sewajarnya tertakluk kepada pasaran tempatan sahaja, tetapi boleh diperluaskan pada pasaran serantau. 

Usaha itu secara tidak langsung, tidak hanya membuka penerokaan peluang perkhidmatan kepada Shoppegram tetapi turut dapat membantu pihaknya memahami dengan lebih baik akan keperluan pasaran semasa merangkumi permintaan di peringkat antarabangsa. 

Mengulas harapan mereka ke atas ekosistem perniagaan di Malaysia – Shoppegram menyasarkan untuk peringkat awal memiliki sekitar 10,000 usahawan tempatan memiliki jenama laman sesawang sendiri dan berupaya memahami strategi pemasaran mereka, untuk menyokong perolehan berterusan dari semasa ke semasa. 

Selain itu, menjelang pembentangan Bajet 2023 kelak – Shoppegram turut mengharapkan penawaran geran ke atas kumpulan startup haruslah menepati dengan pemahaman pertumbuhan startup tersebut. Ini kerana pemahaman pelabur terhadap idea startup perlu selari, untuk memastikan pertumbuhan idea tersebut berupaya menjana pendapatan kepada ekonomi negara. 

Sekiranya tiada pemahaman yang jelas akan peruntukan yang diberi kepada mana-mana kumpulan startup, tanpa sedar ekosistem startup Malaysia sukar untuk bercambah dan menjadi lebih baik.