Artikel

Jumlah Orang Kaya Diramal Meningkat – Lebih 87.5 Juta Jutawan Menjelang 2026

Walaupun 500 orang terkaya di dunia telah alami kerugian $1.4 trilion pada nilai kekayaan mereka bagi separuh pertama tahun ini – namun tampaknya jumlah kumpulan ini akan terus berkembang, apabila dijangka menjelang tahun 2026, jumlah jutawan bakal meningkat 40% kepada lebih 87.5 juta jutawan.

Pengamatan Credit Suisse pada tinjauan kekayaan global 2022 ini secara jelas menunjukkan kesan inflasi, kenaikan kadar faedah bersama ketidaktentuan ekonomi semasa – ternyata tidak menjejaskan percambahan kelompok jutawan dunia.

Mengikut perincian, faktor pemulihan ekonomi dan penerokaan peluang perniagaan baharu telah membantu mendorong peningkatan kumpulan. Ini bermakna lonjakan jumlah jutawan tersebut akan memperlihatkan mereka memiliki nilai kekayaan sekurang-kurangnya $1 juta. Angka ini melonjak berbanding 62.5 juta jutawan dicatatkan pada tahun lalu, 2021.

Lebih menarik, ramalan tersebut turut menunjukkan China antara negara yang akan memiliki jumlah jutawan baharu tertinggi.

Seterusnya data turut memperincikan kekayaan persendirian akan meningkat 36% kepada $169 trilion menjelang 2026, dengan kekayaan setiap dewasa meningkat 28% di seluruh dunia dan melepasi $100,000 pada 2024. Manakala bilangan kekayaan individu bernilai bersih sekitar lebih $50 juta pula turut akan meningkat kepada 385,000 individu dalam tempoh yang sama.