Artikel

Kadar GST Boleh Dilaraskan Sekitar 4%-6%, Jika Dilaksanakan Semula

Sekiranya terdapat penerapan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada pembentangan Bajet 2023 kelak – dianggarkan pertimbangan kadarnya di sekitar 4% sehingga 6%.

Jangkaan itu mengikut Ernst & Young Tax Consultants (EY) merangkumi keupayaan cukai menampung kembali kutipan hasil negara.

Ini kerana mengikut laporan Bernama – pemerhati ekonomi melihat pelarasan kadar GST yang relevan dijangka tidak akan membebankan pengguna serta pembayar cukai dan ia akan memberi kesan minimum kepada sektor perniagaan.

Walaupun kerajaan Persekutuan sebelum ini pernah menyatakan tiada hasrat pengenalan cukai baharu – namun GST kekal memiliki potensi untuk merangsang kembali perolehan negara. Selain GST, EY turut mengusulkan pertimbangan pada kadar cukai pendapatan korporat supaya dapat menarik pelabur asing.

Kadar cukai pendapatan korporat berkanun negara ketika ini adalah 24%, lebih tinggi daripada kadar cukai minimum global 15%, dan juga lebih tinggi daripada kadar cukai di negara jiran, yang secara amnya tidak lebihi 20%.