Artikel

MAVCOM Terima 1,240 Aduan Melibatkan Syarikat Penerbangan – AirAsia Paling Tertinggi

Untuk 6 bulan pertama 2022, ternyata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah menerima sejumlah 1,240 aduan (99.1%) berhubung perkhidmatan syarikat penerbangan, sementara 11 aduan atau 0.9% pula melibatkan masalah di lapangan terbang.

Melihat pada angka aduan khidmat penerbangan yang tinggi ini, AirAsia telah muncul selaku jenama penerbangan yang tertinggi dengan jumlah 527 aduannya iaitu 42.1% daripada jumlah aduan keseluruhan.

Diikuti Malaysia Airlines dengan 509 aduan (40.7%), dan Batik Air dengan 99 aduan (7.9%).

Aduan ini mengikut penjelasan – 46.1% melibatkan isu seperti penjadualan semula, pembatalan penerbangan serta isu yang berbangkit ketika tempahan dilaksanakan.

Buat masa ini, sekitar 1,100 aduan (87.9%) telah diselesaikan dan ditutup, sementara baki aduan lain masih di bawah semakan.

Selain jumlah tersebut, MAVCOM turut menerima 1,317 aduan lain namun tidak dapat dilaksanakan langkah susulan apabila 1,160 aduan daripada jumlah itu tidak memiliki dokumentasi yang lengkap. Diikuti 59 aduan pula telah diselesaikan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), 35 aduan telah ditarik kembali oleh pengguna, 31 aduan di luar bidang kuasa, 29 aduan pula melibatkan tempahan tiket bersama pihak ejen dan 3 aduan pula telah dimaklumkan setelah lebih dari setahun kejadian.

Memahami kesukaran yang didepani para pelanggan, MAVCOM telah melaksanakan sesi libat urus bersama penyedia khidmat penerbangan dan akan menangani permasalahan berbangkit dari semasa ke semasa.