Artikel

KPM Kaji Semula Reka Bentuk Sekolah Sedia Ada – Antaranya Naik-Taraf Kualiti Tandas

Kualiti kemudahan sekolah seperti tandas yang semakin merosot secara langsung telah mengakibatkan segelintir pelajar lebih rela mengikat perut mereka daripada mengambil sarapan pagi.

Memahami aduan sedemikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pihaknya kini sedang merancang mengkaji semula reka bentuk sekolah sedia ada untuk meningkatkan kualiti prasarana demi kepentingan pelajar.

Antara yang kemudahan yang akan ditambah-baik adalah meneliti kembali reka bentuk tandas di sekolah dengan meningkatkan bahagian pengudaraan, supaya fasiliti lebih kondusif.

Meskipun tidak memperincikan nilai perubahan serta tempoh pelaksanaan tersebut, KPM memaklumkan terdapat peruntukan telah tersedia untuk tindakan penambahbaikan infrastruktur di sekolah Malaysia.

Tidak hanya itu, kemudahan sekolah lain yang turut menjadi tumpuan KPM adalah infrastruktur sukan termasuklah bahagian pengurusan pendidikan.