Artikel

Kadar Pengangguran Menurun, Kini 3.7% – Seramai 620,700 Penganggur Malaysia Dicatatkan

Fasa peralihan ke arah endemik bagi Malaysia kini telah memasuki bulan keempat, sejak April lalu. Dalam tempoh tersebut ternyata pasaran buruh negara mula memperlihatkan pemulihan apabila kadar pengangguran terbaharu telah menurun kepada 3.7%.

Di mana, seramai 620,700 penganggur telah direkodkan Malaysia setakat Julai – ini bermakna seramai 9,900 individu telah memperolehi penempatan pekerjaan.

Tinjauan guna tenaga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini menunjukkan prestasi itu didorong pada pertumbuhan positif penduduk bekerja yang telah meningkat 0.3% bersamaan 42,100 pekerja. Lonjakan itu menjadikan jumlah penduduk bekerja di negara kini 15.98 juta individu.

Selanjutnya meninjau pada kategori pengangguran mengikut usia penduduk – kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 tahun sehingga 24 tahun telah menurun 0.1% kepada 336,200 belia. Manakala kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 tahun sehingga 30 tahun pula kekal di paras 7.4% iaitu seramai 476,500 belia.

Seterusnya melihat pada kategori taraf pekerjaan pula, seramai 12.14 juta individu adalah pekerja yang bergaji, diikuti 2.7 juta pula bekerja sendiri, 500,900 adalah pekerja keluarga tanpa gaji dan 545,100 pula bertindak selaku majikan.