Artikel

Pos Malaysia Tampilkan Setem NFT Pertama Negara

Bersempena meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu bersama Hari Malaysia pada 16 September kelak – Pos Malaysia kini tampil dengan edisi setem terhad iaitu setem non-fungible token (NFT) pertama negara.

Usahasama antara Apom – A Piece of Malaysia ini adalah sebahagian daripada projek tahunan #EmpatBelas pada sambutan kebangsaan negara.

Edisi khas hanya dapat ditebus secara percuma apabila pengguna telah melakukan pembelian pada set #EmpatBelas yang mengandungi 14 setem fizikal yang telah direka oleh setiap artis mewakili setiap negeri di Malaysia.

Untuk makluman terdapat 3,000 set setem tersedia dengan harga RM59 bagi setiap set pada penjualan secara atas talian mahupun secara kaunter fizikal terpilih di Pos Malaysia.

Maka para pengguna boleh melaksanakan pembelian set setem fizikal ini bermula 12 September dan selanjutnya dapat menebus satu daripada 14 setem NFT sehingga 31 Oktober kelak.