Artikel

Kadar Kelahiran Naik, Populasi Malaysia Kini 32.7 Juta

Aliran pertumbuhan penduduk Malaysia setakat suku kedua 2022 ketika ini, memperlihatkan peningkatan 0.2% kepada 32.7 juta penduduk.

Berlandaskan perkongsian demografi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini (8 September) menunjukkan peningkatan populasi itu disokong hasil kadar kelahiran meningkat 0.2% kepada 110,858 bayi dicatatkan.

Sebagai pecahan, jumlah itu merangkumi 56,801 bayi lelaki dan 54,057 pula bayi perempuan.

Sementara bagi perincian jumlah populasi mengikut kewarganegaraan pula, seramai 30.2 juta adalah rakyat Malaysia, diikuti baki 2.4 juta pula adalah bukan-warganegara. Untuk populasi rakyat negara, jumlah itu didominasi dengan;

  • Bumiputera seramai 21.1 juta penduduk (69.9%)
  • Cina seramai 6.9 juta penduduk (22.8%)
  • India seramai 2.0 juta penduduk (6.6%)
  • Lain-lain kaum seramai 0.2 juta penduduk (0.7%)

Peratusan percambahan rakyat negara mengikut kategori etnik menunjukkan Bumiptera dan India memaparkan peningkatan penduduk.

Manakala pada data kematian pula, suku kedua 2022 menunjukkan jantina lelaki mencatatkan jumlah kematian lebih tinggi dengan 26,476 individu, diikuti jumlah kematian wanita pula 20,296 individu.

Seterusnya bagi populasi mengikut negeri pula, Selangor terus mendominasi jumlah penduduk negeri yang tinggi dengan Selangor (7.038 juta penduduk), Johor (4.02 juta penduduk) dan Sabah (3.39 juta penduduk).