Artikel

Grab, Singtel Lancar Bank Digital – Mulai 5 September Ini

Grab, penyedia teknologi di Asia Tenggara bersama Singtel, firma telekomunikasi Singapura tidak lama lagi bakal menampilkan bank digital pertama mereka pada tatapan umum mulai 5 September ini.

Sokongan bank digital GXS ini akan menawarkan kemudahan akaun simpanan digital kepada pengguna di Singapura. Bagi matlamat awal – Grab menyasarkan penyertaan tinggi dalam kalangan pekerja gig ekonomi serta golongan muda.

Sasaran itu selari dengan agenda kumpulan untuk memastikan golongan ini mencapai paras simpanan tertentu dan memiliki akses aliran tunai bersama kadar faedah yang mudah.

Berlandaskan penjelasan, pemilikan akaun simpanan GXS ini akan membolehkan para pengguna tidak memiliki sebarang tempoh had minimum. Para pengguna boleh melaksanakan deposit sehingga $5,000 dan meraih faedah harian sehingga 1.58% setahun.

Mengikut perancangan, pengenalan khidmat kewangan digital ini akan diselaraskan secara berperingkat. Untuk fasa awal ia akan tersedia dalam kalangan kakitangan, pengguna Grab dan Singtel terpilih serta pengguna GXS.

Buat pengetahuan umum, Grab dan Singtel mula membentuk konsortium pada Disember 2019 untuk memohon lesen bank digital. Berdasarkan peratusan kepentingan, Grab memiliki 60% pegangan pada konsortium sementara 40% baki hak Singtel.

Pada masa yang sama perolehan lesen bank digital ini menuntut keperluan modal sebanyak $1.1 bilion serta kelulusan pengawalselia tempatan dari konsortium tersebut. Nilai ini bagaimanapun dilihat jauh lebih tinggi berbanding komitmen modal pada saingan pasaran negara lain.