Artikel

Malaysia Sasar 1,000 Hartawan Global Menetap Di Negara – Melalui Program Visa Premium

Program Visa Premium atau PVIP berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan kini mula diperkenalkan Malaysia, bagi menarik minat hartawan global untuk menetap dan melabur di negara.

Pengenalan program melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini memperincikan sasaran awal penyertaan peserta pada tahun pertama program ini seramai 1,000 hartawan bersama anggaran hasil negara mencapai RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.

Usaha tersebut terbuka kepada semua peringkat usia dan warganegara, bagaimanapun hanya dikecualikan untuk negara Israel dan negara lain yang tidak memiliki hubungan diplomatik bersama Malaysia.

Menurut KDN, permohonan pada penyertaan program akan dibuka mulai 1 Oktober kelak.

Selain itu, bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tempatan kekal terjamin – pentadbiran Malaysia turut menetapkan jumlah siling penyertaan peserta termasuklah tanggungan mereka adalah hanya 1% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Ini bermakna hanya 1% jumlah perserta daripada lebih 32 juta rakyat Malaysia dibenarkan mengikuti program ini.

Mengikut perincian, kelayakan peserta perlu memiliki pendapatan sekitar RM40,000 sebulan atau RM480,00 setahun, memiliki akaun simpanan tetap sekurangnya berjumlah RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai selama setahun.

Adanya agenda ini, ia dijangka berpotensi meningkatkan nilai kemasukan pelaburan langsung asing pada pasaran negara. Malah dapat memacu pertumbuhan pasaran pekerjaan negara di masa hadapan.