Artikel

PERKESO Maklum Kuat Kuasa Siling Gaji Baharu – Bagi Caruman Mulai September

Bagi caruman bermula September (esok), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan kuat kuasakan siling gaji baharu.

Tindakan itu merangkumi amaun caruman bagi pekerja yang bergaji lebihi RM4,000 sebulan seperti yang tertakluk dalam Jadual Ketiga Akta 4 dan Jadual Kedua Akta 800.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) penyelarasan ini bertepatan bagi menambah baik liputan keselamatan sosial PERKESO menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3%. Malah ia turut selari dengan tindakan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Menerusi langkah itu, para majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman pada slip gaji atau penyata pekerja mereka untuk tujuan rekod serta pemeriksaan oleh PERKESO.

Selain perubahan itu, untuk pekerja yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan pula – amaun caruman akan mengikut had siling gaji pada paras RM5,000.

Melalui makluman tersebut juga, ternyata hampir 19% atau 1.5 juta pekerja negara yang merupakan pencarum PERKESO akan terlibat dalam peningkatan siling gaji tersebut. Ini termasuklah pekerja tempatan serta pekerja asing.