Artikel

Malaysia Sedia Teroka Kerjasama Dengan Thailand – Majukan Industri Pertahanan

Selain bidang kesihatan, Malaysia ketika ini turut menzahirkan hasrat meneroka kerjasama dengan Thailand dalam memajukan industri pertahanan negara bersama kepakaran terserta pengalaman mereka.

Agenda itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) Malaysia yang bakal dilaksanakan pada Oktober kelak. Usahasama ini akan membantu negara menimba pengetahuan khususnya bahagian teknologi pertahanan Thailand.

Tidak hanya itu, mengikut laporan Bernama penerokaan kepakaran turut dapat diperluaskan kepada bahagian penyelenggaraan, penambahbaikan, segmen dron, pensenjataan serta pemulihan pesawat.

Setakat ini negara telah menjalankan kunjungan rasmi ke Thailand bersama wakil tertinggi Institut Teknologi Pertahanan Thailand (DTI). Seterusnya turut mengadakan lawatan ke firma pertahanan swasta Chaiseri Defense Co yang di bawah selia kerajaan Thailand berperanan menghasilkan kenderaan tentera serta mengeksport ke 44 buah negara di dunia.