Artikel

69.6% Firma Jangka Kekalkan Jumlah Pekerja – Yakin Perniagaan Semakin Rancak

Dari semasa ke semasa, ekosistem perniagaan di Malaysia dilihat semakin memulih apabila keyakinan para peniaga kini mengalami pertambahan 4.7% bagi jangkaan prestasi perniagaan untuk 3 bulan hingga 6 bulan mendatang.

Pemerhatian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tinjauan Statistik Kecenderungan Perniagaan untuk suku ketiga ini jelas memaparkan sektor Perkhidmatan antara tertinggi menjangkakan peningkatan prestasi dengan 13.6%, diikuti sasaran positif pada prestasi Pertanian, Perlombongan, Pembuatan dan Elektrik dan Air.

Namun bagi sektor Perdagangan Borong dan Runcit pula sebaliknya meramalkan prestasi yang kurang menggalakkan akan berlaku dengan penurunan prestasi -5.8%. Begitu juga sektor Pembinaan dengan penurunan ramalan prestasi -24.9%.

Berbalik kepada keyakinan kebanyakan peniaga dan syarikat – ternyata sekitar 69.6% memaklumkan akan mengekalkan jumlah pekerja sedia ada susulan aliran prestasi dijangka kekal konsisten, manakala 20.9% pula merancang mengambil lebih ramai pekerja dan 9.5% pula berhasrat ingin mengurangkan pekerja mereka.