Artikel

Negeri Sembilan Kini Membenarkan Pemilik Tukar Status Hartanah Pajakan Ke Pegangan Bebas

Jika dahulu ingin membeli kediaman, seringkali diberi peringatan untuk memilih rumah berstatus freehold ataupun pegangan bebas, berbanding pajakan meskipun harga lebih tinggi, ia susulan terdapat risiko pemilik kehilangan hak.

Kini kesukaran tersebut tidak lagi perlu didepani pemilik kediaman di Negeri Sembilan yang memiliki rumah berstatus pajakan kerana kelak status tersebut boleh ditukar kepada pegangan bebas.

Menurut laporan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, permohonan pertukaran status tersebut boleh dilaksanakan penduduk awam pada pejabat tanah daerah. Namun penawaran ini hanya tertakluk kepada kumpulan yang memiliki hartanah sebelum tempoh 9 Mei 2018.

Untuk makluman sebelum ini, kebenaran tersebut hanya tersedia buat pemilik di kawasan perumahan terpilih sahaja tetapi kini dibuka kepada semua pemilik rumah kediaman di Negeri Sembilan.

Berdasarkan proses peralihan status kediaman, kerajaan negeri memaklumkan tempoh penyelesaian proses pertukaran itu bergantung kepada kelengkapan dokumentasi pemilik kediaman dan kelulusan di peringkat exco negeri, ia berkemungkinan mengambil sedikit masa.