Artikel

Hanya 12% Rakyat Malaysia Dapat Mengesan Kos Tersembunyi Ketika Membeli-Belah – WISE

Walaupun 49% rakyat Malaysia ditakrifkan sebagai pakar ataupun gemar membeli-belah pada rangkaian di luar negara – namun hanya 12% sahaja memahami dan dapat mengesan kos tersembunyi bagi setiap pembayaran.

Tinjauan WISE pada kempen Don’t Kena Con ini bertujuan untuk memahami tingkah-laku rakyat Malaysia dalam perbelanjaan. Dan ternyata sekitar 37% responden yang membeli-belah di luar negara mengakui tidak mengetahui tentang yuran dan kadar pertukaran sehinggalah transaksi tersebut selesai.

Peratusan itu dapat dibuktikan, apabila data 2021 menunjukkan rakyat Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM10.5 bilion dalam bentuk yuran kad, semasa membeli-belah di luar negara sejak tahun 2015-2020. Manakala sekitar RM1.5 bilion pula telah dibelanjakan dalam yuran transaksi dan tambahan harga kadar pertukaran mata wang tersembunyi pada setiap tahun untuk perbelanjaan di luar negara. 

Lebih mengerunkan, tinjauan turut dapati 39% rakyat Malaysia gemar menggunakan kad kredit ketika berbelanja untuk transaksi luar negara dan dua pertiga daripadanya (69%) sedar bahawa mereka perlu membayar lebih daripada sekdar yuran pertukaran mata wang ketika membeli-belah menggunakan kad kredit.

Ini perincian lanjut berhubung kaedah pembayaran rakyat Malaysia semasa pembelian melibatkan rangkaian di luar negara;

  • 39% gemar menggunakan kad kredit
  • 22% menggunakan kad debit
  • 20% menggunakan kad variasi mata-wang
  • 20% menggunakan wang tunai

Melihat pada aliran itu, pengguna di Malaysia memaklumkan terdapat beberapa aspek yang ingin diketahui oleh mereka ketika berbelanja pada rangkaian di luar negara iaitu 55% ingin ketahui nilai sebenar dibayar dalam Ringgit Malaysia, 28% ingin caj terendah, 10% ingin kaedah pembayaran yang paling mudah dan 7% pula ingin penyediaan kaedah BNPL.

Maka melalui dapatan ini, WISE melihat pengetahuan berasaskan kewangan yang lebih luas wajar diperkasakan pada pengguna tempatan. Pelaksanaan itu harus diketengahkan seiring dengan perkembangan populariti tabiat membeli-belah secara atas talian di Malaysia.