Artikel

Prestasi AirAsia X Menyusut – Rugi RM652 Juta

AirAsia X kini memaparkan penyusutan meskipun permintaan perjalanan udara semakin memulih, apabila mencatatkan kerugian sebanyak RM652 juta pada prestasi suku keempat yang berakhir pada 30 Jun lalu.

Bagi mengelak kekeliruan, kumpulan tersebut telah memaklumkan laporan akhir tahun kewangan telah dialihkan kepada 30 Jun, tidak lagi 31 Disember 2020.

Menerusi perkongsian prestasi itu, AAX turut memperlihatkan pendapatan sukuan mencatatkan RM107 juta, menurun sebanyak 5% berbanding RM113 juta hasil pada suku ketiga sebelum ini.

Menyingkap persoalan berhubung penurunan prestasi ini, AAX mengaitkan prestasi sedemikian dengan keutamaan kumpulan menampung semula kerugian pengguna ketika pandemik COVID-19 dengan memperuntukan RM653 juta baucar perjalanan kepada para penumpang dan ejen pelancongan.

Langkah ini untuk membantu kumpulan yang terjejas akibat proses penstrukturan semula hutang syarikat.

Pengagihan baucar ini dilaksanakan susulan AAX terikat dengan syarat skim penstrukturan semula hutang berkenaan dengan hutang dan liabilitinya. Oleh itu, AAX dilarang secara sah daripada memberikan sebarang bayaran balik tunai kepada penumpang dan ejen pelancongan. 

Ini bermakna kerugian sebelum cukai bernilai RM652 juta yang berlaku pada suku keempat ini didorong hasil keutamaan peruntukan baucar perjalanan tersebut.

Sekiranya langkah itu tidak diambil, AAX berupaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM300,000. Maka dengan penyelesaian penstrukturan semula hutang ini – AAX menjangkakan kestabilan pada prestasi operasi di masa hadapan.