Artikel

Kenanga Super App Terima Sokongan Ant Group – Tersedia Suku Pertama 2023 Kelak

Menyedari tahap pendedahan asas kewangan yang masih rendah dalam kalangan 70% rakyat Malaysia khususnya pada pelaburan – Kenanga Investment Bank kini mula memperkasakan khidmat mereka secara digital menerusi satu aplikasi sehenti, Kenanga Super App. 

Adanya pemerkasaan itu, Kenanga pada sidang hari ini (24 Ogos) secara rasminya memeterai kesepakatan bersama Ant Group bagi memanfaatkan mPaaS, platform pembangunan mudah-alih daripada unit teknologi digital Ant, untuk melancarkan aplikasi kekayaan pertama di Malaysia. 

Aplikasi ini diperincikan akan mengintegrasikan semua khidmat kewangan seperti perdagangan saham, pengurusan pelaburan digital, dompet digital, perdagangan kripto dan pertukaran mata wang asing, ke dalam satu medium. Fungsi ini secara langsung membolehkan pengguna menjejaki aliran pelaburan pada paparan skrin dengan secara mudah. 

Menerusi sokongan bersama Ant Group, Kenanga memberi jaminan daya keselamatan aplikasi akan terus terjamin tanpa mengugat sebarang ketirisan data dan ketelusan adalah matlamat utama aplikasi.

Berdasarkan sasaran awal, penampilan aplikasi ini dijangka dapat tersedia menjelang suku pertama 2023 buat tatapan pengguna Malaysia.