Artikel

Najib Razak Kekal Didapati Bersalah – Berdepan Denda RM210 Juta, Penjara Selama 12 Tahun

Pada hari ini (23 Ogos) Mahkamah Persekutuan, setelah mengambilkira pelbagai hujahan telah sebulat suara bersetuju mengekalkan keputusan bersalah ke atas mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berikutan 7 pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Keputusan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimum Mat tersebut sekaligus menidakkan langkah pihak Najib mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta pengenaan denda berjumlah RM210 juta.

Untuk makluman keputusan ini sebelumnya telah dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman sedemikian bagi pertuduhan ke atas Najib Razak menyalahgunakan kuasa, pecah amanah serta terlibat dalam agenda pengubahan wang haram.

Berdasarkan perincian, Mahkamah Persekutuan memaklumkan pihaknya bersetuju bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melakukan pertimbangan dengan teliti dan menyeluruh berhubung keterangan yang dikemukakan sebelum ini.