Artikel

Golongan Berusia 30-40 Tahun Paling Ramai Alami Krisis Hutang

Hutang atau didefinisikan sebagai jumlah bayaran yang alami penangguhan, kini terus menghimpit golongan dewasa di Malaysia – khususnya mereka yang di usia 30 tahun sehingga 40 tahun.

Ketika ini, didapati kumpulan tersebut mewakili 41.6% daripada lebih 387,000 individu yang berdaftar di bawah Program Pengurusan Hutang (DMP) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), terlibat dengan krisis hutang di negara.

Antara faktor utama yang mendorong penyertaan kumpulan ini tinggi menurut laporan adalah disebabkan kegagalan mengimbangi jumlah pinjaman rumah, kenderaan bersama tanggungan anak mereka.

Sementara kumpulan usia lain pula turut mencatatkan peningkatan, namun masih rendah di bawah 40%;

  • Kumpulan berusia 20-30 tahun (13.5%)
  • Kumpulan berusia 40-50 tahun (28.3%)
  • Kumpulan berusia 50-60 tahun (13%)
  • Kumpulan berusia 60-ke atas (3.6%)

Malah secara menyeluruh, tinjauan turut mendapati sekitar 37.2% individu yang menyertai DMP ini disebabkan tekanan kos sara hidup yang tinggi dan 36% pula disebabkan perancangan kewangan yang lemah, diikuti kegagalan dalam perniagaan (11.5%), kehilangan pendapatan (8.9%), berdepan masalah kos perubatan (5.3%) dan faktor lain (1.1%).

Maka melalui DMP, AKPK menyasarkan pelbagai alternatif akan disalurkan kepada rakyat Malaysia untuk melunaskan dan menstrukturkan semula status kewangan mereka. Setakat ini seramai 1.2 juta individu telah menerima khidmat AKPK dan sebanyak RM2.1 bilion telah berjaya dipulihkan di bawah DMP.