Artikel

Johor Dilaporkan Ingin Laksana Kerja 4 Hari Setengah Seminggu – Cuti Sabtu, Ahad, Dan Jumaat Separuh Hari

Negeri Johor kini dilaporkan akan menyeleraskan semula cuti hujung minggu kepada hari Sabtu dan Ahad. Di samping itu, hari Jumaat pula dikatakan akan dijadikan cuti separuh hari untuk penduduk bekerja. Ini sekaligus akan membuatkan para pekerja bekerja sekitar 4 setengah hari seminggu.

Dengan langkah ini, para pekerja akan tamatkan tugasan mingguan mereka sebelum solat Jumaat, dan tidak perlu kembali ke pejabat selepas solat Jumaat.

Mengikut laporan MalayMail ini, langkah pertukaran hari minggu bersama separuh hari bekerja pada Jumaat ini hanya akan dimaklumkan setelah kerajaan negeri menerima perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Selain itu berdasarkan sumber, pelaksanaan ini telah mengambilkira pandangan penduduk melalui tinjauan kerajaan negeri, di mana lebih 90% menyokong cadangan untuk peralihan hari hujung minggu jatuh pada Sabtu dan Ahad.

Sekiranya semuanya berjalan lancar dan menerima perkenan Sultan, pelaksanaan ini dijangka akan berlaku pada penghujung atau pada awal 2023 kelak.

Selain Johor, negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu juga antara negeri yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari rasmi hujung minggu buat penduduk negeri mereka.