Artikel

Azah Aziz, Tokoh Budayawan Melayu – Kini Hiasi Google Doodle Sempena Kelahirannya Ke-94

Azah Aziz, insan yang cukup dekat dalam bidang kewartawanan serta industri kebudayaan negara. Siapa sangka empunya diri tidak hanya hebat dalam karya penulisan selama 37 tahun bahkan cintanya pada seni dan tekstil tempatan, sekaligus telah meletakkan namanya terus kekal terpahat di hati rakyat Malaysia sehingga kini.

Di kenali dengan panggilan Mak Ungku, yang lahir pada tanggal 21 Ogos 1928 – ikon negara ini telah mula memupuk minat penulisannya ketika berkhidmat selaku setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, yang pada ketika itu dikendalikan oleh Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau pendeta Za’Ba.

Tidak terhenti disitu, beliau telah menerima peluang untuk meluaskan kemahiran penulisannya selaku setiausaha kepada Ketua Pengarang Straits Times, Leslie Hoffman pada tahun 1957. Di bawah tugasan ini, ia telah mencorakkan kemahiran Azah Aziz dalam penulisan melibatkan isu tokoh antarabangsa dan tempatan, personaliti terkenal serta isu berkaitan kewanitaan dan warisan budaya negara.

Apa yang menarik berhubung perjuangan penulisannya berkaitan wanita, adalah meliputi hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri yang bekerja, pindaan keluarga Islam serta kebajikan dan keperluan wanita bersama kanak-kanak.

Selain itu, penulisannya juga turut menyentuh isu akan kepentingan warisan budaya Malaysia – merangkumi keindahan busana Melayu, tekstil, pakaian, adat resam tradisional antara masyarakat, sejarah serta keunikan puisi, permainan tradisional bersama lagu kanak-kanak klasik.

Kecintaannya pada budaya negara telah menjadi antara sumbangan terbesar buat Malaysia, bagaimana mungkin budaya negara dapat terus bertahan sekiranya tiada insan seperti Azah Aziz.

Buat pengetahuan umum, beliau merupakan ibu kepada mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Tan Sri Dr. Zeti Aziz yang telah berkhidmat selama 16 tahun di BNM bermula tahun 2000 sehingga 2016.

Maka berdasarkan sumbangan serta hasilnya pada karya penulisan dan tindakan mempromosikan budaya Malaysia, Azah Aziz telah memperolehi pengiktirafan – di pilih selaku Tokoh Wanita Johor pada 1992, di anugerahkan selaku Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah pada 1994, menjadi penerima pertama Anugerah Jarum Berlian dan menerima Ijazah Kehormat Doktor (Seni dan Pendidikan) UPSI pada tahun 2008.