Artikel

Wanita Malaysia Lebih Cenderung Melabur Secara Konsisten Berbanding Lelaki – StashAway

Ternyata di Malaysia, wanita dilihat lebih cenderung untuk melabur secara konsisten berbanding dengan lelaki.

Tinjauan di bawah Merapatkan Jurang Pelaburan Jantina StashAway 2022 ini jelas menunjukkan kebarangkalian 1.22 kali dicatatkan oleh wanita negara untuk melakukan pelaburan secara tetap. Selain itu wanita negara juga turut memiliki potensi 1.8 kali ganda untuk kekal melabur dan kurang kemungkinan untuk mengeluarkan wang pelaburan serta menutup akaun pelaburan mereka berbanding lelaki.

Potensi ini bagi StashAway penting kerana tingkahlaku pelabur akan membawa cerminan kepada dinamik pelaburan negara tersebut di masa hadapan, di samping itu ia beruapaya membantu pelabur membina aset dalam jangka masa panjang. Maka potensi itu wajar diperkasakan bagi meningkatkan sentimen pelaburan negara. Malah keyakinan pelabur wanita Malaysia turut lebih tinggi berbanding lelaki.

Situasi itu dapat diperlihat pada aliran kemasukan log masuk dalam akaun pelaburan. Pada StashAway, pelabur lelaki Malaysia 1.44 kali ganda lebih tinggi dan kerap menyemak pelaburan mereka berbanding wanita. Selain tahap keyakinan, dari aspek kesihatan juga 68% pelabur wanita negara percaya mereka memiliki jangka hayat yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu melebihi 4 tahun berbanding lelaki.

Namun, walaupun wanita di Malaysia semakin terdedah akan penyertaan dalam pelaburan – perlu diakui kapasiti pelaburan wanita Malaysia masih lagi rendah berbanding lelaki.

Setakat ini, StashAway telah berjaya meraih peningkatan pelabur wanita pada platform mereka sekitar 42%, ia melonjak 14% setelah dilancarkan pada 2018 dan disasarkan untuk terus meningkat dari semasa ke semasa berikutan pemerkasaan ekonomi digital semakin meluas di rantau Asia.