Artikel

Pengguna Malaysia Membelanjakan RM1.5 Bilion Untuk Teh Mutiara – Bagi 2021

Sekiranya dahulu minuman teh di Malaysia sering disinonimkan dengan permintaan “Teh Tarik” atau “Teh Ais” sahaja, kini pilihan tersebut dipelbagaikan – apabila kemunculan Teh Boba atau Teh Mutiara mula menjadi tumpuan anak muda dalam pasaran minuman negara, bahkan di rantau Asia Tenggara.

Berlandaskan tinjauan Momentum Works bersama Qlub, tahun 2021 sahaja sejumlah $3.7 bilion telah dibelanjakan pengguna Asia Tenggara untuk pasaran minuman Teh Boba. Angka tersebut turut disumbangkan oleh pengguna Malaysia, apabila didapati mencatatkan $330 juta (RM1.46 bilion) bagi perolehan tahunan.

Bagaimanapun Malaysia berada di kedudukan ke-5 dari senarai negara Asia Tenggara tersebut.

Di mana Indonesia mendahului dengan pendapatan tahunan sekitar $1.6 bilion, diikuti Thailand ($749 juta), Vietnam ($362 juta), Singapura ($342 juta), Malaysia ($330 juta) dan Filipina ($280 juta).

Melihat pada kerancakkan perniagaan teh boba pada tahun lalu ini, pihak pemerhati menjangkakan permintaan minuman ini akan terus kekal di pasaran. Meskipun mengakui kestabilan konsep perniagaan ini mencabar namun dengan sokongan ekonomi digital seperti khidmat pesanan makanan dan penawaran diskaun secara atas talian – langkah itu akan mengukuhkan lagi permintaan minuman teh boba di Asia Tenggara.