Artikel

Perodua Memilih Serap Kos – Maklum Tidak Akan Naikkan Harga Kereta

Perodua, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd kini terus kekal dengan prinsip jenamanya – untuk tidak menaikkan sebarang harga jualan kenderaan kepada pengguna.

Meskipun berdepan risiko lonjakan kos pengeluaran dari aspek peningkatan harga komponen, Perodua terus kekal memilih menyerap kos tersebut dan ingin tampil selaku pengeluar mampu-milik buat pengguna Malaysia.

Berdasarkan laporan, pendirian tersebut disuarakan pada pelancaran Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua pada hari ini (15 Ogos).

Setakat Julai 2022, tempahan Perodua masih kekal laris walaupun tidak menyamai prestasi seperti mana Januari-Jun lalu. Namun pengukuhan itu kekal membuktikan permintaan kenderaan Perodua terus meluas.

Sekitar 145,689 unit kenderaan telah terjual bagi tempoh 7 bulan pada tahun ini – dicatatkan Perodua. Angka itu menunjukkan peningkatan aliran jualan kenderaan telah berlaku sebanyak 48.7%.