Artikel

300,000 Pekerjaan Kemahiran Tinggi Buat Belia Malaysia, Dijangka Tersedia Pada 2025

Meskipun kadar pengangguran negara telah menurun daripada 5.3% kepada 3.9% – namun Malaysia masih berdepan cabaran utama iaitu ketidakpadanan pekerjaan buat para graduan.

Maka menyedari kesulitan tersebut, pasaran buruh negara kini dalam usaha menggandakan insiatif menyeimbangkan penawaran pekerjaan berlandaskan kemahiran graduan. MITI, Kementerian Perdaganan Antarabangsa dan Industri melalui Menteri Kanan Azmin Ali – memaklumkan negara kini menjangkakan sebanyak 300,000 pekerjaan kemahiran tinggi buat golongan belia tersedia pada tahun 2025 kelak.

Usaha di bawah Academy in Factory (AiF) ini menyasarkan untuk permulaan – tahun ini MITI menjangkakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan tersedia pada skop kemahiran tinggi.

Pemerkasaan ini menurut laporan, penting buat Malaysia untuk terus kekal sebagai destinasi pelaburan dari pelbagai negara. Ini kerana kegagalan negara membuka peluang buat bakat kemahiran tinggi dan celik teknologi ini akan merugikan ekonomi Malaysia.

Berdasarkan usaha itu, ia sekaligus seiring dengan gagasan Revolusi Industri ke-4 yang bermatlamat meningkatkan produktiviti Malaysia sebayak 30% dalam pelbagai sektor menjelang 2030, melalui pemerkasaan peluang pekerjaan kemahiran tinggi.