Artikel

AirAsia Food Kini Lancar Khidmat Penghantaran Makanan Antara Bandar, Melalui Udara – Buat Pengguna

Bermula hari ini (15 Ogos), pengguna di Lembah Klang boleh menikmati juadah kegemaran mereka di Pulau Pinang – dengan melaksanakan pesanan makanan di airasia food menerusi khidmat penghantaran udara antara bandar.

Langkah mudah dengan menekan butang ikon “Food” pada aplikasi AirAsia Super App itu dimaklumkan akan diterbangkan mengikut protokol kebersihan yang ketat dari Penang ke Lembah Klang pada hari-hari tertentu setiap minggu, dengan caj penghantaran berpatutan hanya RM5.99 setiap pesanan.

Tempahan tersebut akan ditutup pada jam 5 petang sehari sebelum hari penghantaran yang dijadualkan. Dan lebih menarik para pengguna memiliki pilihan untuk melakukan Pra-Tempahan Makanan sehingga 30 hari lebih awal.

Berdasarkan perkongsian, sesi penghantaran makanan di Penang ke Lembah Klang diseliakan pada setiap hari Rabu dan setiap pesanan akan memberi pulangan mata ganjaran 5x ganda buat pengguna dan seterusnya turut menawarkan peluang perolehan tiket penerbangan percuma ke Langkawi sekiranya telah memenuhi kriteria pesanan.

Melihat kemudahan sedemikian, ini tidak hanya memberi kelebihan kepada pengguna tetapi turut akan merancakkan ekosistem perniagaan makanan di seluruh Malaysia. Malah, buat masa khidmat tersebut hanya tersedia di Penang sahaja dan akan diperluaskan di negeri lain.

Selain Malaysia, Thailand turut telah menerima khidmat yang sama antara bandar di Phuket ke Bangkok.