Artikel

55% Pekerja Muda Di Malaysia – Tidak Gusar Untuk Berhenti Kerja, Jika Tiada Keseimbangan

Walaupun ekonomi semasa memberi tekanan kepada pasaran buruh negara, namun ini tidak menidakkan hak pekerja di Malaysia – menyuarakan pendapat mereka berhubung fleksibiliti dalam tugasan pekerjaan.

Terbaharu, tinjauan Ranstad Malaysia mendapati hampir 50% pekerja di negara tidak khuatir untuk berhenti kerja sekiranya mereka tidak memiliki keseimbangan dalam tugasan dan rutin peribadi mereka. Pada peratusan itu, 55% golongan pekerja muda yang terdiri daripada usia 25 tahun sehingga 34 tahun turut berkongsi pendapat yang sama.

Melalui laporan, terdapat dua fleksibiliti dilihat dapat membantu pekerja kekal pada skop pekerjaan semasa. Iaitu pertama Fleksibiliti Masa Bekerja – 89% responden ingin memiliki kebebasan dalam masa bekerja mereka dan kedua Fleksibiliti Lokasi Bekerja – di mana 86% responden ingin diberi kebebasan untuk bekerja dari rumah (BDR) atau di mana-mana lokasi yang berasing dari pejabat.

Selain keseimbangan untuk kepentingan peribadi pekerja, golongan ini turut memberi tumpuan kepada tahap kesihatan mental mereka akan budaya kerja ketika ini dan kesejahteraan prestasi pekerjaan mereka.