Kelihatannya pada suku kedua 2022, Ringgit Malaysia telah menyusut nilai sebanyak 4.6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Perkongsian data Bank Negara Malaysia (BNM) itu pada tinjauan ekonomi kewangan negara hari ini (12 Ogos) bagaimanapun menjelaskan situasi tersebut adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau.
Situasi itu sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berlaku, disebabkan dasar monetari AS yang semakin ketat dan agresif. Malah pertumbuhan global yang lebih lemah susulan konflik perdagangan antara Rusia-Ukraine turut menyumbang.
Walaupun berdepan tekanan sedemikian, prospek ekonomi Malaysia yang semakin memulih dilihat telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan perkembangan faktor luaran pada suku kedua.
Secara keseluruhannya ekosistem kewangan negara akan terus berdaya saing dengan adanya sokongan faktor luaran yang dijangka mampu mempengaruhi aktiviti perniagaan negara ke arah pemulihan. Seterusnya sistem perbankan negara yang baik turut akan mengukuhkan ekonomi negara.