Artikel

iPay88 Maklum Terdapat Pencerobohan Data Kad Pengguna Berlaku

iPay88, penyedia pembayaran yang menawarkan penyelesaian pada e-dagang, runcit, perbankan dan dompet digital negara kini memaklumkan sebelum ini terdapatnya pencerobohan sekuriti siber pada khidmat mereka.

Situasi tersebut secara langsung berkemungkinan menjejaskan data kad pengguna mereka. Bagaimanapun pihaknya telah menjalankan siasatan pada 31 Mei lalu bersama pakar keselamatan siber.

Dan berdasarkan makluman terbaharu, isu pembendungan tersebut telah berjaya diselesaikan dan tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai lalu.

Namun bagi menjamin keselamatan data pengguna dan memastikan sistem perkhidmatan mereka terus kukuh – iPay88 kini sedang melaksanakan pelbagai langkah dan kawalan baharu ke atas perkhidmatan. Langkah keselamatan juga telah dikongsikan bersama rakan kongsi institusi kewangan untuk meningkatkan keselamatan perkhidmatan mereka.

Sebarang perincian dan kemas-kini lanjut, iPay88 akan memaklumkannya bersama pengguna dalam masa terdekat.