Artikel

Mulai 5 Ogos – Tambang Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis Ke Langkawi Naik

Bermula esok (5 Ogos) sekiranya pengguna ingin ke Langkawi melalui khidmat feri di Kuala Kedah dan Kuala Perlis – usah terkejut, kadar tambang feri mulai naik.

Mengikut perkongsian Konsortium Ferry Line Ventures, kenaikan tersebut akan memperlihatkan kadar tambang yang berbeza, iaitu:

  • Kuala Perlis ke Langkawi bagi pelancong tempatan luar (dewasa) – akan naik RM3 kepada RM21 dan RM13 (kanak-kanak)
  • Kuala Perlis ke Langkawi bagi penduduk setempat, warga emas dan OKU – harga tiket kekal RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak)
  • Kuala Kedah ke Langkawi turut naik RM3.50 kepada – RM26.70 (dewasa) dan RM20.50 (kanak-kanak)
  • Kuala Kedah ke Langkawi bagi penduduk setempat, warga emas dan OKU – harga tiket masih kekal
  • Bagi pelancong asing – dikenakan harga RM34.50 (dewasa) dan RM25.50 (kanak-kanak)

Kenaikan ini berlaku setelah 15 tahun pihak pengurusan tidak berbuat demikian. Ini kerana faktor kenaikan kos operasi dan gaji pekerja pada ketika ini telah menuntut perubahan harga pada tambang tiket. Langkah tersebut untuk menjamin kesejahteraan operasi dari semasa ke semasa.

Oleh itu, orang awam diminta sedari akan perubahan harga tiket ini dan merancang perbelanjaan perjalanan anda dengan lebih teratur.