Artikel

AirAsia Super App Kini Tawar Pekerjaan Tetap, Jamin Gaji RM3000 Bulanan – Kepada Rakan Penghantar

AirAsia Super App, aplikasi sehenti gaya hidup milik Capital A kini terus memperluaskan strategi perkhidmatan mereka, apabila mula menawarkan pekerjaan tetap buat rakan penghantar mereka dengan jaminan gaji tetap RM3000 bulanan

Pada pelancaran hari ini (4 Ogos) Tony Fernandes memaklumkan langkah itu sebahagian daripada komitmennya dalam memberikan rakan penghantar persekitaran kerja yang lebih baik dan kestabilan pekerjaan, di samping meningkatkan peluang pendapatan untuk mereka.

Semua rakan penghantar airasia food dan airasia xpress akan diambil bekerja secara sepenuh masa, berkuat kuasa serta-merta, membolehkan mereka untuk menikmati rangkaian penuh manfaat sebagai Allstar termasuk KWSP, PERKESO, perlindungan perubatan yang juga dapat dimanfaatkan oleh pasangan dan anak-anak, cuti tahunan, dan faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 dan e-kupon.

Malah rakan penghantar turut akan menerima latihan eksklusif serta perlindungan kemalangan peribadi secara percuma dan turut berpeluang memperolehi insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka.