Artikel

Rancangan Selangor Pertama Berjumlah RM212.44 Bilion – Berupaya Bantu Negeri Sumbang 30% KDNK

Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu pelan 5 tahun Selangor kini telah diluluskan pada peringkat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan melibatkan projek pembangunan negeri 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

Menerusi pengaturan itu, disasarkan agenda ini berpotensi membantu negeri menyumbang paras 30% nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan lebih awal menjelang tahun 2025. Untuk makluman ini sumbangan Selangor pada KDNK sejak 2017;

  • 2017 – 23.7%
  • 2018 – 24.1%
  • 2019 – 24.3%
  • 2020 – 24.8%
  • 2021 – 25%

Melalui peningkatan sumbangan KDNK secara purata 0.5% ini, Selangor mendapati agenda RS-1 berupaya memperkasakan peningkatan sumbangan dengan lebih cepat berbanding sasaran sebelumnya hanya dapat dicapai pada 2030.

Malah projek pembangunan ini akan merangkumi penambahbaikan infrastruktur perniagaan, syarikat dan kebajikan rakyat di Selangor. Di mana pelaksanaan ini juga turut mengambilkira pendekatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kelak.