Artikel

Malaysia Setuju Laksana 15% Cukai Minimum Global Terhadap Syarikat Multinasional Tertentu – LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), memaklumkan secara dasarnya bersetuju melaksanakan pengenaan cukai minimum 15% ke atas syarikat multinasional (MNC).

Perubahan pada sistem percukaian global ini meletakkan Malaysia antara 136 buah negara yang telah diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada ketika ini.

Mengikut pengumuman, pembaharuan pada sistem percukaian antarabangsa ini dijangka akan dilaksanakan mulai tahun 2023 kelak.

Dengan adanya pengenaan cukai 15% ke atas firma tersebut, ini dapat memastikan perniagaan melunaskan tanggungjawab cukai mereka ke atas negara tuan rumah dan sekaligus mengelakkan berlakunya ketirisan daripada kutipan cukai negara.

Setakat ini, terdapat hampir 3,000 syarikat multinasional sedang dipantau oleh LHDN berhubung pelaksanaan tersebut.

Buat pengetahuan pembaca – Syarikat Multinasional atau Multinational Corporation (MNC) ini adalah entiti yang beroperasi di negara sendiri dan di seluruh dunia. Penetapan operasi induk entiti ditentukan berdasarkan pengurusan operasi dan pentadbiran syarikat tersebut. Firma ini diklasifikasikan sebagai MC setelah memiliki operasi di beberapa negara luar dan memiliki syarikat utama yang melabur pada cawangan pangkalan di negara lain.